06 September, 2011

Perdana Menteri Melancarkan 250 Kedai 1Malaysia Seluruh NegaraD'Mart


PEKAN 27 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini melancarkan secara serentak 250 kedai 1Malaysia DMart yang dibina di tanah-tanah rancangan Felda seluruh negara.

Pelancaran tersebut berlangsung di kedai 1Malaysia DMart di Felda Chini Timur 2 di sini.

Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata, semua kedai 1Malaysia DMart akan menjual barangan keperluan yang menggunakan logo 1Malaysia.

"Antaranya seperti susu tepung, sardin, jus oren, sos cili dan kicap yang kesemuanya dijual dengan harga yang lebih murah daripada biasa serta mempunyai kualiti seperti barang yang berjenama," katanya.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis dan Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin.

Menurut Najib, dengan adanya kedai ini, rakyat dapat berjimat sebanyak 30 hingga 40 peratus perbelanjaan harian.

''Sebagai contoh, sos cili yang berjenama dijual dengan harga RM2.10 sebotol tetapi di sini hanya dijual pada harga RM1.80, manakala lampin bayi dijual dengan harga RM18.50 berbanding dengan yang berjenama iaitu berharga RM30.20," katanya.

Najib berharap, dengan kewujudan kedai ini semua rakyat mendapat faedah terutamanya peneroka Felda.

Tambah beliau lagi, penubuhan kedai ini menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin terhadap rakyat.

"Sebelum ini pembangkang menggelarkan BN ini sebagai barang naik, namun setelah kewujudan kedai ini mereka semua diam," katanya.

Dalam pada itu, pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Felda Chini Timur 2, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.88 juta untuk kawasan Gugusan Felda Chini.

Katanya, peruntukan itu termasuk untuk membaiki, membina dan menaik taraf kemudahan di kawasan Gugusan Felda Chini termasuklah klinik kesihatan, masjid dan dewan.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...